'Kami Anak Beranak Mana Ada Rumah, Tidur Pun Bawah Menara Jam'

'Kami Anak Beranak Mana Ada Rumah, Tidur Pun Bawah Menara Jam' | Ya Allah, ku sangka dugaan bagi aku sudah cukup hebat, tetapi ada lagi yang lebih hebat dari diri aku.

mahani udit, kanak kanak, gambar anak anak mahani

Kakak yang berasal dari Kedah tetapi telah lama menetap di Pulau Pinang ini ada 5 orang anak. 3 anak perempuan, 2 lelaki. Suaminya sudah masuk penjara dua tahun lebih. Anak pertama dan kedua masing-masing berusia 20 dan 18 tahun juga dipenjara kerana terlibat dalam kes dadah. Sekarang, yang ada bersama dengannya ialah anak nombor 3, 4 dan 5 yang masing-masing berusia 2 tahun, 10 tahun dan 12 tahun,

Sejak beberapa bulan yang lepas, aku sering melihat mereka di kawasan Bukit Jambul, bersama dengan anak-anaknya. Tetapi saat itu aku tak tahu cerita kehidupannya lagi. Cuma dari segi penampilannya, memang aku tahu dia orang susah.

mahani udit, kanak kanak, gambar anak anak mahani

Selalu juga bila terjumpa mereka, aku berikan duit untuk anak-anaknya atau makanan. Tak pernah aku selidik lebih-lebih. Pernah beberapa kali aku terserempak dengan mereka yang sedang mandi di tandas kompleks Bukit Jambul.

Nak dijadikan cerita, tadi aku keluar rumah nak berjalan-jalan dalam shopping kompleks Bukit Jambul, yang terletak di sebelah rumah saja. Aku nampak dia sedang berehat di kawasan taman di depan kompleks itu. Aku pun jenis yang peramah, dia nampak aku lalu, dia senyum dan tanya nak ke mana.

"Saja nak ambil angin petang-petang," aku terus melabuhkan punggung di sebelahnya dan bersembang.

Sedikit sebanyak aku tanya, entah kenapa petang ini aku soal semua perkara.

"Akak asal mana? Rumah kat mana?"

"Asal dari Kedah," namun tidak menyatakan rumahnya di mana menyebabkan aku terpaksa mengulangi soalan yang sama.

"Akak mana ada rumah, dok tidur di mana-mana sajalah dengan anak, dah berbulan-bulan," jawabnya.

Tersentap aku. Selepas itu bertalu-talu soalan yang aku tanya pada dia.

"Habis tu, anak-anak tidur macam mana?"

"Malam-malam, kami tidur di bawah menara jam itu tanpa berlapik apa-apa pun," katanya sambil menunjuk menara tersebut.

Mahu saja air mata ini menitis mendengar jawapannya itu, namun dibendung.

"Habis, kalau hujan, akak duduk di mana?" soalku.

"Tidur di kedai dobi layan diri, depan kompleks Bukit Jambul. Tetapi sekarang pemilik kedai dobi dah tak bagi tidur di situ," jelasnya.

"Mandi macam mana?"

"Tandas kan banyak, mandi sajalah. Tapi kadang-kadang kena halau dengan pengawal keselamatan kompleks itu,"

"Akak kerja apa?"

"Tak ada kerja. Dengan anak-anak kecil, orang tak mahu terima saya bekerja," kata-katanya itu membuatkan aku terus teringat cerita hidup aku dulu yang diceraikan talak 3 di saat aku mengandung, ada anak kecil dihalau dan merempat tak ada tempat tinggal.

Ya Allah, aku sudah melalui apa yang dia lalui. Air mata aku sudah mengalir, cepat-cepat aku berpaling muka dan lap tanpa dia sedar.

"Habis, kalau tak kerja, macam mana dengan makan setiap hari? Duit dari mana?"

"Dari sedekah orang pada anak-anak, seringit dua. Kadang-kadang kami makan nasi yang pusat judi Cosmic sedakan untuk orang-orang berjudi dalam itu. Nasi percuma saja, kadang-kadang tak makan," katanya.

"Sebelum ini akak tinggal di mana?"

"Tinggal di Matang tetapi kena keluar selepas suami masuk penjara," katanya.

Yang itu aku tak tanya lebih apa sebab mereka keluar. Mungkin masalah tak dapat bayar sewa atau apa-apa yang sewaktu dengannya.

"Memang tak pernah kerja ke macam mana?"

"Sebelum ini akak kerja sebagai cleaner, tetapi dua bulan majikan tak bayar gaji. Kerja di kedai makan pun sama juga, majikan tak bayar gaji,"

"Tak pernah ke memohon bantuan apa-apa?"

"Pernah dapat sekali saja bantuan dari badan NGO sebanyak RM300 raya tahun lalu,"

"Kenapa tak cuba minta zakat atau kebajikan?"

soalan aku itu membuatkan dia mencebikkan mukanya.

"Nak dapat RM100 sebulan macam RM1 juta, susah sangat. Akak pernah pergi memohon tetapi mereka nak macam-macam. Kebajikan tanya akak duduk di mana, akak kata akak tak ada rumah. Pihak kebajikan pula nak ambil anak-anak akak.

"Bila saya tanya pihak kebajikan sekiranya ekonomi akak dah stabil, boleh tak ambil anak akak semula? Mereka kata tak boleh sebab kalau mereka sudah ambil, anak-anak akak akan terus diserahkan kepada keluarga angkat. Bila dengar macam itu, terus akak tak nak minta apa-apa lagi. Tak sanggup berpisah dengan anak-anak.

"Akak tak minta banyak pun, RM300 sebulan sahaja. Buat bayar sewa bilik atau rumah yang murah-murah untuk kami anak beranak berteduh. Bolehlah akak tinggalkan anak-anak dengan selamat untuk pergi mencari kerja. Lagipun anak perempuan akak ni dah besar, boleh diharapkan," ujarnya.

Aku tanya apakah anak-anak dia sudah makan?

"Nak makan apa? Duit langsung tak ada. Dari pagi minum air saja,"

Sekilas terus aku memandang anak bongsunya. Patutlah merengek dari tadi, mungkin kelaparan agaknya. Dengan pampers yang sudah terlondeh penuh dengan kencing tak berganti, baju sudah comot, minum air sirap manis saja. Ya Allah, kuatnya hati dia dan kuatkan hati aku melihat semua ini. Masa itu, hujan sudah mulai turun.

"Nak hujan ni, akak nak tidur mana?"

"Di mana kaki akak berhenti dan rasa boleh tidur, di situlah tempat tidur kami malam ini," jawabnya dengan kepala tertunduk tanpa menoleh aku.

Sayu mendengar kata-katanya. Masa itu pula dompet aku tak berapa nak ada duit. Tetapi aku gagahkan saja ajak mereka pergi makan.

"Jomlah kak, ajak anak-anak pergi makan dulu. Tak apa, saya belanja," pelawa saya pada ibu malang itu.

Terus dia kalut memanggil anak-anaknya datang mengikut aku.

Selepas itu, dari masuk ke kedai makan, sampai mereka habis makan, hati dan otak aku sama ligat berputar.

"Haniey, perlukah kau ajak ke rumah?"

Namun ada anasir jahat di telinga berkata tak perlu berbuat baik, kelak menyusahkan diri. Tetapi aku cepat-cepat iftifar. Masih berat pada kebaikan apatah lagi makin diruntun pilu tengok anak-anak dia yang sedang berebut makan. Mesti mereka sangat susah sebelum ini. Apatah lagi sekarang sudah hampir bulan ramadhan dan selepas itu aidilfitri.

Ya Allah, macam mana anak-anak ini melalui hidup seperti ini? Ya Allah, kuatkanlah hati aku.

"Kak, jom ikut saya balik rumah," kataku tanpa berfikir panjang.

Dia menolak, tetapi aku paksa dan aku kasihan pada anak-anak kelak yang entah hendak tidur di mana. Lebih-lebih lagi sejuk terkena dingin hujan. Saya pun ada anak-anak kecil dan faham.

"Akak tak nak tak apa tetapi fikirkanlah anak-anak akak itu. Rumah saya memang tak cantik mana pun tetapi bolehlah lepas untuk akak dan anak-anak berteduh," pujuk saya pelahan.

Akhirnya dia akur dan mengikut aku ke rumah. Semasa di rumah aku nak bentangkan toto dan bagi selimut pun dia tak nak guna. Mereka nak tidur di atas lantai begitu sahaja. Sedih tengok anak-anak dia tidur. Aku ambil gambar ini semasa mereka sedang tidur. Anak-anak pun tak terurus, luka dan kudis-kudis.

Ya Allah ampunkan hambaMu ini jika bantuanku ada kekurangan.

Aku nak bagi tumpang lama-lama pun tak boleh. Memang ini rumah aku tetapi aku buat sewa bilik yang lagi dua bilik itu dan satu bilik aku duduk. Biasalah duduk di Pulau Pinang ini, kalau duduk rumah seorang-seorang, mahu terberak jugalah bayar seorang-seorang. Jadi terpaksalah berkongsi rumah.

Takut dia tidak selesa di ruang tamu. Dia memang ada suarakan nak mencari bilik sewa dalam lingkungan RM300 sebulan di kawasan ini. Itu aku boleh uruskan sebab aku pun ejen yang tidak bertauliah sewa rumah di kawasan ini. Dia cakap nak kerja, kalu ada tempat tinggal tetap boleh dia tinggalkan anak-anak dia di rumah dan keluar bekerja. Lagipun dalam Bukit Jambul Kompleks ini pun dah banyak kerja yang dia boleh kerja tetapi tak boleh bawa anak-anak.

Jadi, aku mengharapkan ada rakan-rakan Facebook yang baik hati menolong aku. Aku tak mampu nak buat seorang-seorang sebab aku bukan orang senang. Aku nak kumpul dalam RM1,000 sahaja. Aku nak sewakan bilik untuk mereka dan selebih itu nak beli sedikit barang-barang keperluan mereka, makanan dan keperluan asas yang penting. Kalau ada yang dapat sumbangkan RM5 seorang pun sudah berbaloi. Kawan aku di Facebook dekat 1,000 lebih.

mahani udit, kanak kanak, gambar anak anak mahani

Dia mahu berdikari dan kita perlu tolong untuk dia mulakan hidup baru. Apatah lagi ramadhan bakal tiba. Pilu hati saya saat dia cerita ramadhan tahun lepas jangankan baju baru, makanan untuk anak-anak dia di pagi raya pun langsung tiada.

Kepada yang sudi membantu, sila hubungi nombor aku sendiri 017-4407027 WhatsApp pun boleh untuk maklumat lebih lanjut atau mesej di :


Akaun Maybank : 107135311290 (Mahani Udit) 

Untuk pengetahuan semua, akak ini tiada akaun bank. Bila aku minta nombor akaun bank, dia tak tahu pun apa benda akaun bank itu. Jadi kepada yang sudi membantu boleh terus salur ke akaun saya dan saya akan pegang amanah ini serta memastikan dia akan mendapat tempat tinggal bersama anak-anaknya dengan bantuan anda semua. Hanya Allah yang dapat membalas kebaikan anda semua. - PIXEL MEDIA
'Kami Anak Beranak Mana Ada Rumah, Tidur Pun Bawah Menara Jam' 'Kami Anak Beranak Mana Ada Rumah, Tidur Pun Bawah Menara Jam' Reviewed by OH Buletin on 2:41 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.