Mira Filzah Sambut Mesra 'Lamaran' PU Rahmat

Mira Filzah Sambut Mesra 'Lamaran' PU Rahmat | Beberapa hari lalu, viral di laman sosial mengenai sebuah kiriman status di Facebook atau surat terbuka tulisan Pencetus Ummah (PU) Rahmat yang ditujukan khas untuk pelakon muda Mira Filzah.


Dalam sekelip mata, surat tersebut terus menjadi viral gara-gara ada yang beranggapan PU Rahmat sengaja mengirim surat berkenaan demi mendapat perhatian umum.

Namun, ada sesetengah peminat pula berfikiran bahawa tindakan tersebut merupakan cara halus PU Rahmat untuk memberi kesedaran kepada khalayak tentang kesengsaraan saudara seagama di beberapa negara bergolak seperti Syria dan Palestin dengan menggunakan nama artis yang popular seperti Mira Filzah.

[ Artikel Berkaitan : Surat 'Cinta' Dari PU Rahmat Untuk Mira Filzah ]

Tidak cepat melenting apatah lagi marah apabila namanya digunakan sebagai pelaris, Mira, 24, berlapang dada dengan surat tersebut. Ikuti komen daripada pelakon Cinta Si Wedding Planner berhubung surat ‘lamaran’ berkenaan.

KOSMO!: Mira semestinya sedia maklum mengenai ‘lamaran’ terbuka PU Rahmat yang menjadi viral di laman sosial. Apa komen anda tentang isi surat dan tindakan PU Rahmat itu?

MIRA FILZAH: Bagi saya, kandungan surat dan tindakan PU Rahmat itu sekadar untuk mengajak orang ramai ke arah melakukan kebaikan dan kebajikan kepada sesama umat Islam. Dalam erti kata lain, tindakannya adalah salah satu langkah yang bagus untuk memberi kesedaran tentang kesengsaraan saudara seagama kita yang selama ini mungkin tidak dipandang serius sesetengah pihak.

Ada sesetengah peminat yang mendakwa, PU Rahmat sengaja menggunakan populariti anda untuk mencetuskan viral. Apa pandangan anda tentang dakwaan tersebut?

Selagi sesuatu perkara atau tindakan dilakukan dengan niat baik dan ke arah positif, saya tiada masalah. Asalkan ia membawa kebaikan kepada semua orang yang membacanya. Setidak-tidaknya, tindakannya itu menjadikan mesej yang terselit dalam surat tersebut sampai kepada khalayak.

Pernahkah anda terfikir atau teringin untuk menyertai sebarang misi kemanusiaan seperti yang diharapkan PU Rahmat dalam surat tersebut?

Sejujurnya, saya memang pernah terdetik untuk menyertai apa jua jenis misi kemanusiaan seperti yang diharapkan PU Rahmat. Cuma, saya tidak pasti bila keinginan itu akan menjadi kenyataan.

Insya-Allah, jika tiada aral melintang saya akan sampai juga ke negara-negara tersebut dengan menyertai misi kemanusiaan, sekali gus menyebarkan kesedaran tentang bantuan sejagat.

Bagaimana respon anda apabila ada peminat mendakwa, PU Rahmat sebenarnya cuba memikat anda dengan cara halus?

Rasanya jika keseluruhan isi kandungan surat tersebut dibaca dengan teliti, pembaca akan faham niat sebenar PU Rahmat iaitu untuk menyeru masyarakat di negara ini untuk membantu umat Islam di negara-negara bergolak.

Bagi yang berfikiran sebaliknya, mungkin mereka tidak membaca atau memahami keseluruhan kandungan surat tersebut.

Beralih kepada karier anda. Selepas selesai mengacarakan Anugerah Bintang Popular (ABP) tempoh hari, gaya pengacaraan dan pemilihan anda sebagai pengacara majlis berkenaan ada dikritik peminat. Bagaimana reaksi anda tentang perkara tersebut?

Setiap manusia mempunyai pendapat masing-masing. Perkara itu tidak boleh dinafikan. Ada yang suka dan ada juga yang tidak selesa dengan cara saya.

Saya terima kritikan penonton dengan hati terbuka. Berhubung pemilihan sebagai hos, saya percaya penganjur ada alasan tersendiri walaupun saya masih baru dalam industri.

Sebab itu mereka berani meletakkan saya bersama pengacara lain yang sudah senior. Apa pun, saya sangat berterima kasih dan bersyukur kerana diberi peluang menjayakan sebuah komitmen besar sebegitu.

Adakah selepas memenangi Anugerah Artis Baharu Wanita Popular tempoh hari membuatkan anda berasa sudah cukup popular?

Saya tidak merasakan diri sudah cukup popular kerana masih banyak yang perlu diperbaiki khususnya dalam bidang lakonan. Saya masih baru dalam bidang ini dan berjanji untuk terus belajar supaya tidak menghampakan peminat.

Boleh kongsikan perkembangan terkini anda sekarang?

Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Meh Sandar Pada Aku terbitan Zeel Production. Kali ini saya bergandingan dengan Aliff Aziz dan Fiza Abd. Halim. - KOSMO
Mira Filzah Sambut Mesra 'Lamaran' PU Rahmat Mira Filzah Sambut Mesra 'Lamaran' PU Rahmat Reviewed by OH Buletin on 8:13 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.