Peniaga Online Kena Denda RM 4.24 Juta

Peniaga Online Kena Denda RM 4.24 Juta | Seorang pengusaha perniagaan online bakal berdepan denda RM4.24 juta selepas dia didakwa menjual pelbagai beg tangan berjenama popular yang palsu.


Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, Suhaimi Mat Sari berkata, kegiatan wanita itu berjaya dibongkar selepas seorang pelanggannya yang rasa tertipu membeli beg tangan daripada peniaga terbabit membuat laporan kepada KPDNKK, baru-baru ini.

Menurutnya, pelanggan terbabit membeli beg berkenaan selepas tertarik dengan iklan peniaga terbabit di dalam aplikasi WeChat.

“Hasil siasatan pihaknya menyerbu kedai diusahakan suspek di Jalan Perai Jaya 3, Bandar Perai Jaya, Perai di sini, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

“Kita merampas 424 beg tangan wanita pelbagai jenama yang palsu seperti Chanel sebanyak 166 beg, Bonia (71), Louis Vuitton (5) dan Michael Kors (97) yang kesemuanya bernilai kira-kira RM9,025.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 30-an di premis terbabit untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Suhaimi berkata, walaupun nilai rampasan tidak terlalu banyak, namun pihaknya memandang serius mengenai isu penipuan peniaga online yang menjual barangan palsu.
“Walaupun nilai rampasan tidak sampai RM10,000, tetapi isu ini dianggap sebagai suatu kesalahan yang sangat serius oleh KPDNKK.

“Peniaga berkenaan juga bakal berdepan tindakan berat iaitu denda RM10,000 bagi setiap unit jika sabit kesalahan dan dia boleh didenda RM4.24 juta,” katanya.

Suhaimi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan.
Beliau turut menasihati pengguna agar berhati-hati sekiranya mahu membeli barangan secara online bagi mengelakkan tertipu.

Peniaga Online Kena Denda RM 4.24 Juta Peniaga Online Kena Denda RM 4.24 Juta Reviewed by OH Buletin on 1:23 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.