Serangan Bom Di IOI Puchong Didalangi IS

Serangan Bom Di IOI Puchong Didalangi IS | Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian letupan di sebuah pusat hiburan di IOI Boulevard di Puchong 28 Jun lalu, mempunyai penglibatan elemen kumpulan pengganas militan (IS).


Menurutnya, ia susulan tertangkapnya dua lelaki di Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.

"Kita dapati bahawa mereka ini menerima arahan daripada seorang rakyat Malaysia bernama Muhammad Wanndy Mohamad Jedi yang berada di Syria supaya melancarkan serangan-serangan di Malaysia.

"Pemimpin kanan kerajaan termasuk perdana menteri, pemimpin kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hakim-hakim antara individu yang menjadi sasaran mereka (IS) kerana menghalang kegiatan IS," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, sebentar tadi.

Khalid memberitahu, malah maklumat yang pihaknya peroleh juga dapati suspek turut diarah menyerang beberapa pusat hiburan kerana didakwa tidak islamik.

Selain itu, bagi membantu siasatan, polis sedang mencari dua lagi individu dikenali Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33 yang masing-masing beralamat di Rengit serta Batu Pahat, Johor.

Tangkapan ini susulan operasi khas sejak kejadian serangan bom itu sehingga Jumaat lepas.

Katanya, dua anggota polis berpangkat pegawai rendah yang bertugas di Pulau Pinang dan Kedah antara 13 lagi individu yang ditahan di Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur serta merampas pelbagai senjata tajam dan bendera kumpulan militan berkenaan.

Mengulas tentang penahanan pegawai polis berkenaan, Khalid memberitahu, mereka masing-masing berperanan sebagai perancang kegiatan jenayah samun bagi mendapatkan dana membiayai kumpulan IS dan disyaki melindungi salah seorang anggota kanan kumpulan tersebut.

"Tapi dua pegawai ini kita percaya tidak terbabit dalam menyabotaj sistem atau pun operasi yang dijalankan PDRM," katanya.

Justeru, orang ramai diminta beri kerjasama kepada polis supaya elemen IS ini dapat dilumpuhkan dari terus bergiat aktif. PDRM akan mengambil segala pendekatan dan langkah kawalan keselamatan yang telah dipertingkat selain memantau memantau laman media sosial yang cuba mempengaruhi masyarakat.

Kesemua individu berusia 19 hingga 52 tahun disiasat dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali Sosma.

Serangan Bom Di IOI Puchong Didalangi IS Serangan Bom Di IOI Puchong Didalangi IS Reviewed by OH Buletin on 4:56 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.